Tuesday, November 07, 2006

PENGUMUMAN 01

PROJEK KARANG BUKU NASIONAL:
Semua boleh ambil bahagian
Setiap Individu Hasilkan Minima Sebuah Buku
(Tumpuan Awal Kepada Pelajar Tingkatan 5 dan 6)

01. TUJUAN:
Memastikan setiap individu, khususnya pelajar tingkatan 5 dan 6, disokong dan didorong untuk menghasilkan minima sebuah buku bukan-fiksyen yang bermutu di sepanjang hayatnya.

02. SENARIO:
Perhatikan senario buku di Malaysia. Tahukah anda, berapakah buku yang diterbitkan setiap tahun di negara kita? Apakah status terkini industri buku di negara kita? Berapakah buku yang telah diterbitkan sepanjang tahun lalu, oleh penerbit buku yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia? Adakah individu di kalangan penduduk dan rakyat Malaysia yang telah menghasilkan minima sebuah buku? Kenapakah tugasan karangan di sekolah hanya sekadar mendapat markah sahaja? Wujudkah potensi karangan tersebut dikembangkan menjadi buku? Berapakah buku karya individu tempatan yang telah mendapat ISBN dari Pusat Bibliografi, Perpustakaan Negara Malaysia? Berapakah buku karangan individu tempatan yang sedang dijual di kedai dan toko buku seluruh negara? Berapakah buku karya tempatan yang telah dieksport ke pasaran nusantara? Berapakah buku karya tempatan yang telah diterjemahkan untuk pasaran global.

Jawapannya, anda sendiri sedia maklum.

03. CADANGAN:
Menerbitkan sebuah buku dengan maksud sokongan dan dorongan kepada pengarang baru, berjudul “Jom! Karang Buku Sekarang Bukan Karang”. Diikuti dengan pelaksanaan projek khas peringkat nasional, setiap individu menghasilkan minima sebuah buku, tumpuan awal kepada pelajar tingkatan 5 dan 6.

04. PENJELASAN:
Apa
Buku bacaan motivasi berjudul "Jom! Karang Buku Sekarang Bukan Karang", dan diikuti projek khas nasional individu karang buku untuk tambah koleksi negara dan warisan bangsa.
Siapa
Pencetus idea, Zubli Zainordin, di atas platform bukuonline.org, dengan kerjasama AZ Smart Integrated Partnership Sdn. Bhd., dan Yayasan Pembangunan Buku Negara, dan membabitkan semua pihak dalam komuniti buku, dan individu yang berminat.
Judul buku dipilih setelah mempertimbangkan fikiran Mag Dr Abu Hassan Hasbullah melalui posnya di forum bukuonline.org
Di Mana
Di sekolah atau di kediaman tempat buku dikarang, di sebuah pejabat tempat operasi, di portal bukuonline.org tempat koordinasi program dan aktiviti, serta di sebuah hotel pelancaran buku dan projek.
Bila
Telahpun bermula di peringkat idea sejak 25 September 2006.
Kenapa
Industri buku negara perlu di semarakkan dengan meramaikan lagi individu pengarang, bermula di peringkat sekolah seluruh negara. Jika tidak kita ketiadaan Bukuwan Negara.
Bagaimana
01. Menerbitkan sebuah buku sokongan dan dorongan karang buku, 02. Membentuk AJK, 03. Diikuti pelaksanaan projek sehingga berjaya.

05. JADUAL PELAKSANAAN:
Perkara dan Tarikh
01. Memulakan karangan buku motivasi mengarang buku
25 September 2006
02. Buku motivasi mengarang buku diterbitkan
16 November 2006
03. Pembentukan Jawatankuasa Induk Projek
November 2006
04. Pembentukan Jawatankerja Pusat Projek
November 2006
05. Jalinan dengan pihak berkenaan di peringkat sekolah
Disember 2006
06. Majlis Pelancaran Buku dan Projek
Januari 2007
07. Hebahan dan dorongan
Januari 2007
08. Pembinaan pangkalan data
Januari 2007
09. Projek karangan buku dimulakan
Februari 2007
10. Buku pertama mula diterbitkan dan dipasarkan
Jun 2007

* Semua tarikh tersebut adalah tentatif. Ikuti pengumuman sebarang perubahan oleh Zubli Zainordin.

06. FORMULA KERJASAMA:
Dari jumlah hasil jualan sesebuah buku, setelah ditolak segala kos, setiap pengarang memperolehi 50 peratus daripada keuntungan buku karyanya. Bakinya diagih kepada semua lain-lain pihak yang telah menjayakan penghasilan sesebuah buku tersebut.

07. SERUAN:
Saya menyeru Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Menteri Besar dan Ketua Menteri, semua Menteri Kabinet, Menteri yang berkenaan, semua Kementerian, Jabatan, dan Agensi yang berkenaan, semua pihak swasta, semua NGO berkaitan buku, rakan bukuwan, dan setiap individu berkenaan buku, menyokong projek ini. Manakala semua pihak sekolah, dan individu pelajar, menyertai projek ini.

InsyaAllah, berkat, rahmat dan redha dari Allah juga yang kita harapkan.
_________________
Siapa Zubli Zainordin - http://www.zublizainordin.cjb.net/
Apa Projeknya -
http://www.projekkarangbuku.blogspot.com/
Apa bukunya -
http://www.zublizainordin.blogspot.com/

No comments: